Tuesday, March 15, 2011

Minda: Derita rakyat negara termaju

JUTAAN rakyat Jepun semalam menjalani kehidupan tanpa makanan, air atau bekalan elektrik dan ratusan ribu lagi penduduk tiada tempat tinggal ketika negara kuasa besar ekonomi itu berhadapan dengan keadaan yang selalu dihadapi negara dunia ketiga.

Pasukan penyelamat dari seluruh dunia kini berada di negara matahari terbit itu, menyertai 100,000 anggota tentera Jepun dalam operasi bantuan ketika negara itu mengalami gegaran demi gegaran selepas gempa dan ancaman baru tsunami sementara suhu berada di paras sejuk.

Kedai dan stesen minyak di seluruh negara kehabisan bekalan apabila orang ramai bergegas berbelanja untuk memenuhi stok bekalan berikutan gempa bumi berukuran 8.9 magnitud yang menyebabkan tsunami.

Dalam pada itu, stesen tenaga nuklear yang rosak mencetuskan kebimbangan ancaman radiasi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 2.6 juta rumah tidak mempunyai bekalan elektrik dan 3.2 juta orang tidak memperoleh bekalan gas.

Barisan panjang dapat dilihat di Sendai di pantai timur laut Jepun, bandar paling teruk terjejas. Orang ramai begitu sabar menanti giliran untuk membeli barangan keperluan. Di sebuah pasar raya yang sudah dibuka semuka, kakitangan yang ceria menguruskan gerai di tempat letak kereta dan berhati-hati menyusun barang makanan. Pelanggan hanya dibenarkan membeli dua gugus anggur, dua oren, coklat, lima beg keropok dan dua tin sardin saja.

Bandar Ishinomaki yang mempunyai 165,000 penduduk dan teruk terjejas, tidak mempunyai bekalan tenaga atau komunikasi sementara bekalan makanan juga semakin kritikal kerana kerosakan sistem pengangkutan. Separuh daripada bandar raya itu musnah akibat dibadai tsunami.

“Pertama, kami tidak mempunyai air untuk diminum,” kata Datuk Bandar, Hiroshi Kameyama kepada stesen penyiar NHK. “Kami juga tidak mempunyai makanan dan maklumat.” Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Asia Pasifik, Patrick Fuller yang berada di Ishinomaki berkata: “Ia satu cabaran terdesak untuk bersaing dengan masa bagi menyelamat mereka yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan. Di Hospital Palang Merah, tidak ada ruang yang tidak digunakan. Petugas Palang Merah yang keletihan tidur bersebelahan dengan mangsa yang cedera.

“Malah, ramai lagi mangsa memerlukan bantuan perubatan tiba. Mereka yang cedera datang berjalan kaki, ada yang tiba dengan helikopter atau dipapah anggota keluarga.” Sekurang-kurangnya 1.4 juta warga Jepun tidak mendapat bekalan air dan lebih 500,000 lagi berlindung di pusat pemindahan, kata Pejabat Penyelarasan hal Ehwal kemanusiaan PBB (OCHA).

“Keperluan utama yang diperlukan ialah makanan, air minuman, selimut, bahan bakar dan ubat-ubatan. Kerajaan dan sektor swasta tidak berlengah dalam menyediakan keperluan itu dan bertindak serta-merta menghantarnya ke kawasan yang teruk terjejas,” kata OCHA.

Sementara itu, sebahagian besar kawasan di seluruh Jepun berdepan masalah bekalan elektrik apabila kerajaan bertindak mencatunya dalam usaha menjimatkan tenaga selepas loji nuklear yang menjadi pembekal utama meletup hingga mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku peleburan di loji tenaga Fukushima. Memburukkan lagi keadaan, sebuah pusat penapisan minyak terbakar.

PBB berkata, bekalan tenaga dan gas amat penting, lebih-lebih lagi dengan musim sejuk yang melanda negara itu, menyebabkan suhu berada di paras kosong pada sebelah malam. Jabatan Kaji Cuaca negara itu meramalkan salji dan hujan pada beberapa hari akan datang.

“Operasi menyelamat dan menghantar bantuan terjejas akibat gegaran selepas gempa yang berlaku berterusan, amaran tsunami dan kebakaran,” kata OCHA.

Kebanyakan kawasan di sepanjang pantai timur laut negara itu masih sukar dijejaki pekerja bantuan dan penyelamat.” Tentera mengagihkan alat pemanas, bantuan kecemasan, selimut dan air dan berkata, kira-kira 10,000 orang berjaya diselamatkan.

Tanah runtuh di puluhan tempat dan jalan raya, jambatan serta landasan kereta api dihanyutkan air sementara lebuh raya utama ke timur laut yang rosak teruk ditutup kepada semua kecuali untuk kenderaan membawa bantuan, kata Jawatankuasa Palang Merah Jepun.

Bot, pesawat dan helikopter digunakan untuk menyelamat dan menghantar bekalan bantuan, tetapi usaha itu berdepan masalah logistik yang amat ketara.

Pertubuhan bantuan kemanusiaan, Medecins Sans Frontieres berkata, air, makanan dan selimut adalah barangan keutamaan di darat sementara keperluan perubatan semakin diperlukan di semua 2,000 pusat pemindahan di seluruh negara itu.

“Jelas tahap kemusnahan begitu besar. Dalam pada itu, pihak berkuasa Jepun melancarkan gerakan besar-besaran untuk operasi bantuan dan menyelamat,” kata Pengarah MSF Jepun, Eric Quannes. - AFP

1 comment:

MamaTiaMia said...

salam umimiqdad lama tak berkunjung sini,aduhhhh your boys cutenya especially yang pipi labuh tu..gerammmm betul:)thanks for yr doa ya:)Tsunami di jepun merupa kan wake up call untuk semua jugak,tak kira macam mana maju masih tak dapat menahan kehendak Allah Sbt.take care.